Amanat Tahun Baru YAB Menteri Kesihatan

Y. Bhg. Datuk-Datuk, Datin-Datin, Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang saya hormati sekalian.

Selamat pagi dan salam sejahtera,

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan Selamat Tahun Baru kepada semua warga Kementerian Kesihatan dan berharap semua berada dalam keadaan sihat. Tahun 2008 telah kita lalui dengan pelbagai peristiwa dan cabaran. Namun, dengan berkat usaha gigih dan kerjasama semua warga Kementerian, cabaran-cabaran tersebut telah berjaya kita tempuhi.

Dengan ini saya juga ingin mengambil kesempatan untuk merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada semua anggota Kementerian di pelbagai peringkat jawatan yang telah bersara sepanjang tahun 2008. Kita sama-sama mengharap dan mendoakan agar mereka semua diberikan kesihatan yang baik dan maju jaya dalam sebarang bidang yang bakal diceburi.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,

Impak krisis kewangan global yang berlaku sejak tahun lepas telah mula membawa implikasi negatif kepada ekonomi negara. Walau bagaimanapun, ini tidak akan menjejaskan usaha murni Kerajaan melalui Bajet 2009 yang bertemakan ”Kerajaan Prihatin” untuk terus meningkatkan kualiti dan taraf hidup rakyat. Ini jelas melalui peruntukan kepada Kementerian yang menunjukkan peningkatan dari tahun ke tahun. Bagi tahun 2009, Kementerian telah menerima peruntukan sebanyak RM13.7 bilion iaitu peningkatan sebanyak 6.3% berbanding tahun sebelumnya. RM11.4 bilion daripada peruntukan tersebut adalah untuk Perbelanjaan Mengurus manakala RM2.3 bilion adalah untuk Perbelanjaan Pembangunan. Dengan jumlah peruntukan yang besar itu, saya berharap semua pihak akan memastikan setiap perbelanjaan dibuat dengan cekap dan berhemat serta betul-betul memberikan faedah kepada rakyat.

Dengan keadaan ekonomi semasa yang tidak mengizinkan, siling bagi projek Rancangan Malaysia Ke 9 (RMK9) Kementerian telah dikurangkan sebanyak RM159.3 juta kepada RM10.02 bilion semasa Kajian Separuh Penggal RMK9. Berikutan pengurangan tersebut, bilangan projek telah dikurangkan kepada 1,031 daripada cadangan asal iaitu 1,643 projek. Sehingga tahun lepas, sebanyak 330 (32%) projek telah disiapkan dan dijangka 180 projek lagi akan dilaksanakan pada tahun ini dengan siling projek bernilai RM2.57 bilion. Saya berharap bahagian-bahagian yang terlibat akan mempergiatkan pelaksanaan semua projek bagi memastikan matlamat RMK9 tercapai.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

Dalam usaha untuk memastikan pesakit yang kurang berkemampuan juga mendapat akses kepada rawatan perubatan, seramai 2,078 orang pesakit telah diberi bantuan di bawah Tabung Bantuan Perubatan sehingga November tahun lalu dengan jumlah bantuan sebanyak RM21.9 juta. Dijangkakan seramai 3,000 orang pesakit bakal menerima bantuan pada tahun ini. Kementerian melalui tabung ini juga telah meluluskan peruntukan sebanyak RM315 ribu bagi menghantar 22 orang pesakit kanak-kanak untuk menjalani pembedahan jantung di Hospital Narayana, Bangalore, India dan semua telah pulang dengan selamatnya.

Selain itu, Kementerian juga telah memberikan bantuan sebanyak RM35.7 juta kepada badan-badan bukan Kerajaan (NGO) bagi melaksanakan aktiviti promosi/ pencegahan/ rawatan dan penjagaan pesakit. Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM17.5 juta telah diberikan dalam bentuk bantuan subsidi rawatan hemodialisis yang melibatkan 2,864 orang pesakit manakala baki RM18.2 juta merupakan bantuan bagi menjalankan aktiviti/ program kesihatan dan juga bantuan capital grant kepada 51 NGO. Bagi tahun ini pula, sebanyak RM50 juta telah diperuntukkan untuk tujuan yang sama di bawah peruntukan one-off sebagai tambahan kepada RM23.3 juta di bawah peruntukan dasar sedia ada.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

Selaras dengan komitmen Kerajaan, Kementerian akan terus memberi penekanan kepada pembangunan modal insan. Ini adalah penting kerana kecemerlangan modal insan merupakan elemen dan aset terpenting dalam memastikan perkhidmatan kesihatan dapat disampaikan dengan cekap dan efisien. Bermula daripada sesi 2008/2009, Kementerian telah menambah bilangan pelatih Program Sarjana Perubatan daripada 450 kepada 600 orang sebagai salah satu langkah bagi mengatasi masalah kekurangan pakar perubatan di hospital-hospital Kementerian.

Dalam pada itu, Kementerian juga telah mewujudkan Integrated College Management System (ICMS) bagi meningkatkan kualiti pengajaran, pembelajaran dan pengurusan di kolej-kolej latihan Kementerian Kesihatan. Sistem ini akan memudahkan dan mempercepatkan komunikasi dua hala antara kolej dan pihak Kementerian.

Dalam usaha untuk memperbaiki skim perkhidmatan anggota kesihatan pula, Kerajaan telah meluluskan penukaran lantikan Penolong Jururawat kepada Jururawat dan penukaran gelaran Pembantu Farmasi kepada Penolong Pegawai Farmasi. Kementerian juga sedang dalam usaha untuk menambahbaik kemajuan kerjaya Pegawai Perubatan dan mewujudkan Skim Pegawai Penyediaan Makanan.

Dari segi ganjaran dan elaun pula, Kerajaan telah bersetuju untuk meluluskan pemberian kenaikan Kadar Bayaran Insentif Klinik Selepas Waktu Pejabat Kepada Hospital dan Klinik, Elaun Elektif Kepada Anggota Yang Menjalankan Pembedahan Elektif Pada Hari Sabtu, kenaikan Kadar Elaun Perudara dan juga Kadar Bayaran Insentif Pakar. Pemanjangan Elaun Khas Mengikut Lokasi dan Tahap Kesusahan Kepada Anggota-Anggota Yang Berkhidmat di Kawasan Pendalaman juga akan dilaksanakan dalam tahun 2009. Dengan penambahbaikan tersebut, saya berharap ia akan menjadi motivasi kepada semua anggota Kementerian untuk terus memberikan perkhidmatan yang lebih cemerlang kepada masyarakat.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

Pada tahun lepas, situasi demam denggi adalah terkawal dan telah menunjukkan penurunan kadar kejadian dan jumlah kes berbanding tahun sebelumnya. Sejumlah 45,649 kes demam denggi telah dicatatkan sehingga 13 Disember lalu berbanding dengan 47,717 kes untuk tempoh yang sama pada tahun 2007. Kadar kejadian kes telah menurun daripada 160 kes per 100,000 penduduk pada tahun 2007 kepada 143 kes per 100,000 penduduk pada tahun 2008. Tahniah saya ucapkan kepada semua anggota terlibat dan berharap usaha berterusan akan dilakukan bagi memastikan negara ini bebas daripada wabak demam denggi. Untuk itu juga, Kementerian telah merangka satu Pelan Strategik Denggi Kebangsaan 2009–2013 bertujuan untuk memastikan pelaksanaan aktiviti kawalan dan pencegahan denggi mendapat penglibatan semua stakeholders dan dilaksanakan dengan lebih sistematik dan terancang.

Selain penyakit berjangkit, penyakit kronik tidak berjangkit (Non-Communicable Disease atau NCD) seperti penyakit jantung, diabetes dan strok terus menjadi satu ancaman kesihatan yang serius di kalangan rakyat negara ini. Kini dianggarkan 1 dalam 10 penduduk dewasa Malaysia mengidap diabetes dan 1 dalam 3 penduduk dewasa Malaysia mengidap darah tinggi. Sehubungan itu, Kementerian sedang menyediakan Pelan Strategik Kebangsaan untuk Penyakit Kronik Tidak Berjangkit bagi mengukuh dan memantapkan pelaksanaan program-program dan aktiviti-aktiviti pencegahan serta kawalan penyakit berkenaan. Dalam pada itu, usaha untuk memupuk amalan hidup sihat di kalangan masyarakat akan terus dipergiatkan melalui aktiviti promosi media massa.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,

Pada tahun ini, Kementerian akan terus memperkukuh dan mempergiatkan aktiviti penguatkuasaan bagi memastikan kepentingan rakyat khususnya dalam aspek kesihatan adalah terpelihara. Saya amat berbangga dengan tindakan-tindakan yang diambil oleh anggota Kementerian berhubung isu pencemaran melamine dalam produk makanan. Berkat kecekapan dan usaha anggota Kementerian terlibat, isu tersebut berjaya ditangani dengan baik tanpa sebarang insiden yang buruk berlaku.

Pada tahun lepas, Kementerian juga telah melaksanakan beberapa inisiatif bagi mempertingkatkan sistem penyampaian perkhidmatan. Antaranya ialah kutipan hasil secara online di lapan buah hospital Kementerian Kesihatan di sekitar Lembah Klang. Pelaksanaan inisiatif ini membolehkan orang ramai membuat pembayaran bil hospital secara online melalui laman web bank RHB dan akan diperluaskan pelaksanaannya di peringkat Ibu Pejabat Kementerian pada tahun ini.

Kementerian juga telah melaksanakan penggunaan Surat Pengesahan Diri dan Pengakuan Pegawai (eGL) di semua 135 hospital Kementerian. Dengan adanya kemudahan ini, kakitangan Kerajaan hanya perlu mengemukakan nombor kad pengenalan semasa berurusan di hospital bagi tujuan pengesahan diri.

Selain itu, penggunaan Medical Practice Control System (MedPCs) bagi memproses pelbagai jenis permohonan secara online bagi kemudahan dan perkhidmatan kesihatan swasta telah dimulakan. Pada tahun ini, sistem tersebut akan dimantapkan lagi.

Dalam pada itu, berikutan sambutan yang amat menggalakkan daripada orang ramai untuk mendapatkan perkhidmatan perubatan tradisional dan komplementari di tiga buah hospital integrasi, pada tahun ini Kementerian akan memperluaskan program perintis tersebut ke tiga lagi hospital iaitu di negeri Terengganu, Sabah dan Sarawak.

Saya juga berbangga dengan tahap pelaksanaan masa menunggu 30 minit di klinik-klinik kesihatan dan Jabatan Pesakit Luar Hospital Kementerian yang mana pencapaiannya telah menunjukkan peningkatan daripada kadar 46.1% kepada 70.5%. Namun, saya percaya masih ada lagi ruang untuk penambahbaikan dan berharap usaha berterusan akan dibuat oleh semua anggota Kementerian terlibat.

Dalam pada itu, sistem kaunter farmasi secara pandu masuk (drive-through) yang pertama di negara ini juga telah dilaksanakan di Hospital Pulau Pinang dan telah mendapat tempat kedua Anugerah Cemerlang bagi kategori Khidmat Pelanggan daripada Asian Hospital Management Awards di Manila, Filipina pada tahun lalu. Semoga pencapaian sebegini akan menjadi dorongan kepada anggota-anggota Kementerian untuk terus membuat penambahbaikan kepada cara dan proses kerja sedia ada bagi meningkatkan tahap penyampaian perkhidmatan kesihatan.

Di kesempatan ini juga, saya ingin memaklumkan bahawa Kementerian akan melancarkan Kempen Penerapan Budaya Korporat di semua kemudahan kesihatan Kementerian Kesihatan dalam masa terdekat sebagai salah satu inisiatif untuk meningkatkan imej dan mutu perkhidmatan kesihatan. Dengan moto “Kami Sedia Membantu”, adalah diharapkan kempen ini akan dapat menanam dan memupuk budaya kerja cemerlang di kalangan anggota Kementerian dan seterusnya membawa perubahan kepada mutu penyampaian perkhidmatan kesihatan.

Akhir kata, saya ingin menyeru kepada semua anggota Kementerian agar menanam azam baru bagi menghadapi cabaran yang bakal ditempuhi pada tahun ini dan terus memberikan kerjasama serta berusaha gigih dalam memastikan segala aktiviti yang telah dirancang akan dapat dilaksanakan dengan lancar dan jayanya.

Sekian, terima kasih.

dipetik dari http://mohcube.moh.gov.my/

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: